MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN MARITIM SELAT MELAKA

Sumber: Majalah Samudera 2011

Penulis: Lt Mohd Fazlie bin Mohd Zuber TLDM

Selat Melaka

Selat Melaka

Dari pandangan sudut geografi, kedudukan Asia Tenggara adalah unik kerana ianya dikelilingi oleh sejumlah besar gugusan pulau dan persisiran pantai yang luas. Sebagai contoh, Selat Melaka merupakan laluan perairan yang paling sibuk di dunia dan menjadi penghubung strategik perdagangan di antara barat dan timur. Ia juga merupakan jalan pintas bagi kapal dari barat sekiranya hendak ke dunia timur. Malaysia, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada dagangan antarabangsa untuk menjana pertumbuhan ekonominya, majoriti dagangan Negara ini diangkut menggunakan kaedah pengangkutan laut iaitu kapal. Ini menjadikan laluan komunikasi laut sebagai nadi dagangan dan teras kepada kemakmuran ekonomi negara. Atas faktor inilah kita perlu melindungi banyak sumber-sumber maritim yang terdapat di Selat Melaka dari apa jua bentuk ancaman.

Kedudukan geografi yang unik ini juga memerlukan pertahanan maritim yang kukuh demi melindungi perairan negara dari ancaman lanun, pencerobohan serta anasir-anasir lain yang boleh mengancam keselamatan serantau. Kita perlu menghindarkan perairan negara kita dari menjadi satu platfom yang strategik kepada pihak tertentu untuk mengembangkan aktiviti-aktiviti haram seperti penyeludupan dan sebagainya. Oleh demikian, amatlah jelas dan mustahak sempadan perairan serta zon-zon ekonomi ekslusif (EEZ) dilindungi secara berterusan. Begitu juga sumber-sumber maritim yang dinikmati negara dan kawasan-kawasan minyak yang mempunyai nilai yang tinggi perlu dipertahankan.

strait_of_malacca

Bagi melaksanakan peranan ini, keupayaan pertahanan dan operasi maritim perlu berada di tahap yang tinggi. Keupayaan ini perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya bagi memastikan Malaysia serta negara-negara jirannya mempunyai keupayaan mempertahankan keselamatan serta mengukuhkan hubungan ke dua hala antara negara-negara yang terlibat.

Keadaan dunia yang lebih ke arah globalisasi akan menyedarkan kita semua akan kepentingan menjaga keselamatan maritim yang dianggap kritikal kepada masa hadapan ekonomi negara. Keselamatan Maritim yang didefinisikan secara amnya sebagai perlindungan atau pertahanan sesebuah negara perlu diperluaskan. Selain dari menjaga keselamatan kawasan perairan dari apa juga bentuk ancaman, sama ada tindakan ketenteraan mahupun aktiviti lanun, keselamatan maritim perlu juga merangkumi keselamatan nyawa dan harta benda yang menggunakan laluan laut. Sebagai contoh penyeludupan dadah yang menggunakan laluan laut merupakan ancaman kepada keselamatan negara. Jika dilihat dari perspektif keselamatan kebangsaan, keselamatan maritime boleh diperkembangkan untuk merangkumi perlindungan kepada semua kepentingan di perairan negara. Tidak keterlaluan dinyatakan juga bahawa globalisasi telah dan akan sentiasa mengubah keadaan persekitaran keselamatan tidak kira di mana jua.

cover-0503

Selat Melaka merupakan diantara laluan-laluan perairan dagangan yang memainkan peranan besar perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dirantau ini. Lokasi strategik laluan-laluan khasnya Selat Melaka telah meletakkannya sebagai salah sebuah perairan yang penting dan mempunyai nilai yang kritikal kepada negara-negara pesisir dan negara dagangan antarabangsa.

Dari perspektif sejarah, sejak dari zaman dahulu lagi beberapa buah empayar telah menegakkan pusat dan wilayah pemerintahan mereka khasnya di sepanjang Selat Melaka yang pada satu ketika dahulu lagi dikenali sebagai ‘laluan rempah’.

Kepentingan laluan ini sebagai laluan maritim yang strategik telah menarik minat kuasa-kuasa besar Eropah untuk menguasai laluan ini dan pelabuhan-pelabuhan di sepanjang perairannya.

Globalisasi serta dunia tanpa persempadanan meletakkan kepentingan laluan laut Negara semakin kritikal dalam memberikan laluan kepada dagangan yang diangkut melalui laluan ini. Sebarang halangan kepada laluan komunikasi ini bakal mengundang kesan negatif bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada negara-negara lain yang mempunyai berkepentingan yang menggunakan laluan yang sama. Sebagai contoh, sejak kebelakangan ini, ancaman terhadap kapal-kapal yang belayar di perairan negara khasnya di Selat Melaka semakin meningkat khasnya ancaman-ancaman lanun yang bermaharajalela dan menuntut perhatian antarabangsa terhadap isu keselamatan di perairan tersebut.

Mengikut Pertubuhan Maritim Sedunia atau International Maritime Organisation (IMO) keluasan Selat Melaka merangkumi pantai barat Malaysia dan Thailand di barat laut dan di pesisiran Sumatera di Tenggara. Jarak selat ini dianggarkan sepanjang 520 batu dan mempunyai dimensi kelebaran di antara 11 batu di titik paling selatan dan 200 batu di titik paling utara. Keluasan selat ini sahaja (tidak termasuk Laut China Selatan) memperlihatkan betapa sukarnya untuk sesebuah negara itu mengawasi laluan atau sempadan perairannya.

Masjid

Perairan negara menjadi nadi yang menghubungkan dagangan antarabangsa dan menyediakan jalinan rangkaian dagangan kritikal antara pengimport dan pengeksport. Sebagai sebuah Negara pesisir kepentingan laluan laut merangkumi lebih dari sekadar menjadi laluan dagangan sahaja. Ia menawarkan laluan pintas yang memendekkan pelayaran dagangan antara Timur dan Barat. Disebabkan kelebihan strategic inilah Selat Melaka menjadi laluan utama kepada kapal-kapal dagangan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Sebagai sebuah negara yang ekonominya bergantung kepada dagangan antarabangsa, lebih kurang 90 peratus dari jumlah dagangan tersebut dilaksanakan melalui laluan laut.

Jika dilihat dari perspektif perdagangan antarabangsa, kepentingan Selat Melaka terserlah dengan melihat fungsinya sebagai laluan utama pengangkutan minyak dari Timur Tengah ke Asia Timur, terutamanya kepada dua kuasa ekonomi terulung rantau ini iaitu China dan Jepun, di mana adalah dianggarkan sebanyak 11 juta tong minyak dieksport ke Asia Timur dari Timur Tengah setiap hari. Ia juga memperlihatkan betapa pentingnya keselamatan laluan perairan dikekalkan. Sebarang gangguan atau halangan terhadap laluan komunikasi sumber minyak ke rantau Asia Timur akan menghasilkan impak yang negatif ke atas ekonomi negara dan ekonomi global secara keseluruhannya. Oleh itu, keselamatan di kedua-dua laluan merupakan satu isu strategik yang sangat kritikal bukan sahaja kepada negara tetapi juga negara-negara dagangan utama dunia.

 

P6260131

Sebarang bentuk ancaman ke atas keselamatan perairan Negara perlu ditangani secara berterusan. Peristiwa serangan lanun ke atas kapal-kapal dagangan dan perikanan dewasa ini kian meningkat dan kemungkinan kapal-kapal yang melalui perairan negara akan menjadi sasaran serangan pengganas tidak dapat dinafikan dan tidak boleh diambil ringan. Sebagai negara yang bergantung kepada laluan laut sebagai jalan penghubung kepada pembangunan ekonomi dan kepentingan strategik, negara perlu member tumpuan terhadap isu keselamatan maritim di perairan negara. Semenjak Peristiwa 11 Sep di Amerika Syarikat, para penganalisa keselamatan maritim berpendapat bahawa pengganas-pengganas mempunyai keupayaan dan boleh menggunakan perairan negara sebagai tapak melancarkan operasi mereka. Jika ini berlaku, ia boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada kepentingan serantau dan global. Kita perlu akur dengan kebimbangan ini dan meningkatkan usaha dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menguruskan laluan perairan negara. Dalam usaha memperbaiki tahap keselamatan perairan negara, kerjasama tiga hala di antara Malaysia, Singapura dan Indonesia yang melibatkan pengawasan berkordinasi tentera laut ketiga-tiga negara adalah perlu. Selain dari terlibat di dalam inisiatif di atas, negara juga bergiat aktif dalam beberapa bentuk kerjasama yang lain bagi menguruskan perairan negara khasnya Selat Melaka.

Selat Melaka bukan sahaja merupakan laluan terusan air yang kritikal kepada ekonomi negara pesisir dan rantau ASEAN, tetapi juga penting sebagai laluan dagangan global. Sebarang ancaman ke atas keselamatan laluan seperti keganasan maritim, aktiviti lanun serta penyeludupan dadah dan senjata bukan hanya akan mendatangkan kebimbangan terutamanya kepada negaranegara di sekitarnya atau komuniti antarabangsa tetapi juga agenda keselamatan negara. Sebarang insiden yang mengganggu gugat ketenteraman laluan ini bukan sahaja menjadi isu tempatan, tetapi menjadi permasalahan sejagat.

Ancaman serangan lanun di Selat Melaka perlu ditetik beratkan di dalam menjamin kedaulatan maritim selat ini. Oleh itu, kita haruslah bersiap dengan menempatkan pasukan-pasukan keselamatan di sepanjang persisiran pantai Malaysia Barat dan Malaysia Timur, termasuk rondaan aggresif oleh pihak TLDM bagi membendung ancaman ini. Inisiatif yang sama perlu dirangka untuk mengadakan kawalan bersama yang tetap di perairan yang terlibat untuk memelihara dari serangan lanun. Walaupun agak mustahil bagi kesemua negara-negara pesisir untuk menghentikan sama sekali serangan lanun disebabkan keluasan perairan itu sendiri, adalah menjadi tanggungjawab negara-negara tersebut untuk menjamin keselamatan laluan perairan itu dan kerjasama yang berterusan di antara pasukan keselamatan dan agensi-agensi maritim negara-negara pesisir harus dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan pelayaran dan membenteras ancaman lanun.

Penyeludupan melalui Selat Melaka perlu dititik beratkan kerana dari segi ekonomi sebagai contoh, penyeludupan barangan menyebabkan kehilangan pendapatan melalui kutipan cukai eksais kepada negara. Selain dari itu, aktiviti perikanan haram oleh nelayan asing dalam perairan negara boleh merugikan negara, selain dari memberikan kesan negatif kepada sektor perikanan dan mengancam mata pencarian nelayan tempatan.

Isu pencemaran alam sekitar di kawasan perairan perlu juga diperbincangkan. Kita berhak merasa bimbang terhadap kemungkinan berlakunya sebarang peristiwa yang tidak diingini dan kesan yang bakal timbul ke atas persekitaran perairan kita, sebagai contoh, tumpahan kargo atau minyak boleh mencemarkan kawasan penangkapan ikan serta pulau-pulau dan pantai-pantai peranginan. Pencemaran dalam apa bentuk sekalipun boleh mendatangkan impak yang buruk ke atas ekologi persisiran member kesan buruk kepada kegiatan ekonomi maritim seperti perikanan dan pelancongan.

Kepentingan perairan Negara dari sudut ekonomi dan strategik adalah tidak ternilai. Sebarang ancaman ke atas perairan yang kritikal ini akan hanya mengundang kesan buruk kepada kepentingan ekonomi, keselamatan dan persekitaran negara. Mengekalkan prinsip kebebasan pelayaran di perairan ini merupakan satu cabaran yang amat kritikal kepada kita. Sebarang gangguan yang diakibatkan oleh konflik serantau atau yang mengancam pelayaran bebas melalui perairan ini akan hanya membawa kesan negative kepada negara dan ekonomi serantau dan global keseluruhannya. Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan tercetusnya ancaman ke atas keselamatan laluan-laluan negara dan bagi menjamin kedaulatan Selat Melaka. Walau apa juga pun, yang amat jelas adalah sebarang kelalaian dalam memantau keselamatan perairan Negara boleh membawa implikasi yang sangat buruk kepada kepentingan ekonomi dan strategik Malaysia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s