KEPTEN YANG DIPERTUA (CAPTAIN-IN-CHIEF) TLDM YANG KE-4

Sultan Sharafuddin

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj pada 21 November 2001, jawatan Kepten Yang Dipertua TLDM disandang oleh anakanda Baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada tahun 2002 sehingga kini. Baginda merupakan Sultan Selangor Yang Ke-9.

Pada tahun 1995, Baginda telah belayar mengelilingi dunia bersama kapal layar peribadi Baginda iaitu Kapal Layar Jugra. Baginda merupakan seorang Sultan yang amat meminati bidang pelayaran dan mengagumi ahli pelayaran Islam dari Afrika iaitu Al Idrisi. Justeru, atas semangat pelayaran yang tinggi, Baginda telah belayar sejauh 27,940 batu nautika dengan berhenti di 155 buah pelabuhan.

Sultan Selangor

Pelayaran selama 644 hari tersebut bermula dari Pelabuhan Klang pada 4 Februari 1995 dan berakhir pada 6 November 1996. Baginda telah dilantik sebagai Komander Kehormat PSSTLDM pada 27 Ogos 1998. Perlantikan ini berikutan kejayaan Baginda belayar mengelilingi dunia dan seterusnya pada tahun 2002, Baginda dilantik sebagai Kepten Yang Dipertua TLDM sehingga kini.

Penglibatan Baginda dalam aktiviti pelayaran dan juga sukan lasak yang lain telah melayakkan Baginda untuk diiktiraf sebagai Putera Inspirasi. Baginda juga turut mendapat pengiktirafan dalam Malaysia’s Book of Records sebagai “The First to Sail Around the World“.

Di samping itu, Baginda mempunyai minat yang mendalam terhadap pengumpulan carta-carta pelayaran lama. Baginda tidak akan ragu-ragu untuk membeli carta mempunyai hubung kait dengan tanah air walaupun dengan harga yang mahal dengan tujuan untuk menyelamatkan dokumen tersebut. Sehingga kini, Baginda memiliki dua folio carta-carta lama yang diterbitkan oleh British and Foreign Government Survey sekitar tahun 1898. Dipercayai hanya tinggal lima naskhah terakhir di dunia. Selain itu, Baginda masih menyimpan carta dan “sounding” yang dilakukan oleh Belanda dan Perancis di kawasan Perairan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang seperti “Le Neptune Oriental” terbitan Academie des Sciences Paris pada tahun 1745. Carta tersebut sangat unik kerana dikartografikan secara tulisan tangan.

Baginda turut memiliki sebuah bilik khas yang diberi nama “Navy Room” yang terletak di Istana Mestika, Shah Alam. Di dalam bilik tersebut dipamerkan Crest, Cap Ribbons unit-unit serta gambar panji-panji. Kesemua hadiah dan cenderamata yang dipersembahkan semasa Baginda berangkat ke pangkalan atau kapal akan Baginda letakkan di bilik tersebut.

Baginda kerap menerima jemputan khas dari Pegawai Memerintah kapal perang asing yang berlabuh di Pelabuhan Kelang. Penghormatan ini tidak disia- siakan oleh Baginda dengan melawat kapal-kapal perang tersebut sekiranya ada kelapangan. Apabila mengadakan lawatan ke Pangkalan TLDM Lumut, Perlumbaan Kapal Layar Kepten Yang Dipertua (Captain-In-Chief Race Match) akan diadakan menentang Pasukan Panglima Tentera Laut di Selat Dinding.

Pada 20 Februari 2012, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj telah menerima penganugerahan pangkat tertinggi daripada Kerajaan Perancis iaitu Commandeur De La Legion D’Honneur (Commander of the French National Order of the Legion of Honour). Penganugerahan telah dilakukan oleh Ketua Angkatan Pertahanan Perancis, Laksamana Edouard Guillaud di Kedutaan Perancis dekat Kuala Lumpur. Turut hadir ketika penganugerahan berlangsung ialah puteri Sultan, Tengku Zatashah dan Duta Perancis ke Malaysia Martine Dorance. Anugerah berprestij itu yang disampaikan kepada Sultan Selangor adalah untuk mengiktiraf peranan Sultan Sharafuddin dalam mentadbir pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia dan sebagai pemimpin tertinggi untuk Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.

 

PENGLIBATAN DALAM PERKHIDMATAN 

Baginda dianugerahkan Beret Kehormat dan lencana Pasukan Khas Laut (PASKAL) di atas segala jasa, sumbangan dan dedikasinya pada perkhidmatan. Menjadi Kepten Yang Dipertua TLDM adalah satu kebanggaan bagi Baginda.

ss

Pada 27 April 2012, baginda berkenan menerima tabik hormat ketika Istiadat Perbarisan Penganugerahan dan Mengarak Panji-Panji Pasukan sempena sambutan Jubli Intan TLDM di Stadium Pangkalan TLDM Lumut. Baginda melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini dianggap sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan armada laut di negara Barat. Baginda juga kagum dengan kemajuan dari aspek pembangunan dan pemodenan pasukan itu menyifatkannya sebagai sangat memberangsangkan.

Ketika upacara itu, Baginda bertitah;

“Daripada sebuah angkatan laut yang kecil atau ‘brown water navy‘ dengan hanya memiliki beberapa kapal ronda, TLDM kini mempunyai armada canggih dengan keupayaan yang disegani dalam ketiga-tiga dimensi peperangan maritim. Kehadiran dua buah kapal selam iaitu Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak nanti adalah pelengkap kepada keupayaan tempur armada kita”

Titah baginda lagi, TLDM cukup bertuah kerana memiliki strategi pengurusan, program pembangunan prasarana dan perolehan aset bagi memastikan kekuatan angkatan laut Malaysia seiring dengan pembangunan negara. Pada masa sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua warga TLDM supaya tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh kerana sikap leka atau bangga boleh membawa kepada kekecewaan dan kegagalan.

“Warga TLDM harus sentiasa berwaspada dan bersedia dalam semua aspek termasuk kekuatan fizikal, rohani dan mental untuk menghadapi semua cabaran dan sentiasa bersiap sedia dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sejajar dengan cogan kata Sedia Berkorban yang tersemat di jiwa dan raga setiap warga TLDM, beta yakin bahawa harapan TLDM ke arah tentera laut bertaraf dunia dan visinya untuk menjadi tentera laut berkualiti akan tercapai kelak,”  titah Sultan Selangor.

Ketika upacara bersejarah tersebut, Baginda turut menganugerahkan Panji- Panji Diraja kepada tiga unit TLDM iaitu KD RAJAWALI, KD SRI SANDAKAN dan KD PANGLIMA HITAM (Pasukan Khas Laut-PASKAL).

Turut hadir semasa upacara bersejarah tersebut adalah Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar; Timbalan Panglima TLDM, Datuk Wira Mohamed Nordin Mohd. Ali dan Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Seperkara yang Baginda sering ingatkan adalah kepentingan Rumah Tamu JUGRA di Pangkalan TLDM Lumut. Justeru itu, Baginda telah mencurahkan idea dan memberi sumbangan dalam rekabentuk Rumah Tamu VIP JUGRA yang terletak di Pangkalan TLDM Lumut. Rekabentuk dalaman dan perhiasan dinding Rumah Tamu tersebut disumbangkan oleh Baginda. Baginda juga berkenan mencemar duli merasmikan Rumah VIP bagi Villa Kinabalu dan Villa Danum yang terletak di Pulau Udar, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Segala minat dan usaha yang dicurahkan oleh Baginda mencerminkan semangat dan cintanya pada perkhidmatan TLDM dan tanggungjawab Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM.

Sebagai Kepten Yang Dipertua TLDM, Baginda sentiasa mengambil berat akan perkembangan dan keadaan semasa yang berlaku di dalam perkhidmatan TLDM. Contohnya, Baginda sentiasa dimaklumkan keadaan semasa pelayaran KLD TUNAS SAMUDERA mengelilingi dunia pada tahun 2007 dan maklumat berkenaan operasi menentang lanun di Teluk Aden, Somalia. Baginda turut hadir semasa menyambut kepulangan kapal selam pertama TLDM KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan krewnya apabila selamat tiba di tanah air pada tahun pertengahan tahun 2009.

Baginda juga berkenan mengikuti pelayaran bersama kapal selam kedua, KD TUN RAZAK pada tahun 2011 bagi merasai sendiri pengalaman krew kapal selam. Semasa pelayaran tersebut, Baginda telah berkenan bersantap bersama krew KD TUN RAZAK dan seterusnya menyelam ke kedalaman maksimum iaitu 350 meter di bawah laut dan bersama-sama merasai air laut yang diambil pada kedalaman tersebut. Ini merupakan simbolik dan tradisi tentera laut sebelum anggota tersebut diiktiraf sebagai seorang submariner.

Semasa pelaksanaan OPERASI TAMING SARI 16/2011 yang lalu, penembakan misil EXOCET MM40 oleh Kapal Diraja (KD) LEKIR diikuti dengan penembakan misil SEA SKUA oleh helikopter Super Lynx dari Skuadron 501 telah berjaya memusnahkan sasaran permukaan yang merupakan sebuah Surface Target

Barge, manakala KD LEKIU pula berjaya melancarkan misil SEAWOLF yang tepat mengenai sasaran tunda udara. Kejayaan siri penembakan yang dilaksanakan di perairan Sabah ini telah melakar sejarah yang ekslusif apabila ia disaksikan oleh Baginda sendiri.

Artikel berkaitan:

KEPTEN YANG DIPERTUA (CAPTAIN-IN-CHIEF) TLDM YANG PERTAMA

KEPTEN YANG DIPERTUA (CAPTAIN-IN-CHIEF) TLDM YANG KE-2

KEPTEN YANG DIPERTUA (CAPTAIN-IN-CHIEF) TLDM YANG KE-3

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s